Sejarah PUO

on Jumaat, Mac 26, 2010


Politeknik Ungku Omar telah ditubuhkan pada tahun 1969 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO. Peruntukan sebanyak RM24.5 juta diperolehi daripada United Nation Development Programme (UNDP).UNESCO telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksanakan pembinaan politeknik tersebut di atas tapak seluas 22.6 hektar di Jalan Dairy, Ipoh.

Politeknik ini mengambil sempena nama Allahyarham Dato' Profesor Ungku Omar Ahmad demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan bangsa terutamanya dalam bidang penyelidikan perubatan.

Pada mulanya Politeknik ini menumpang di bangunan Pusat Latihan Harian (DTC) Ipoh yang kemudiannya menjadi Maktab Perguruan Kinta.Untuk kumpulan 300 orang pelajar yang pertama, kuliah diadakan mulai 2 Jun 1969. Tenaga pengajarnya pada masa itu terdiri dari 28 orang pensyarah tempatan dan dibantu oleh 14 orang sukarelawan dari Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Pada penghujung 1973, Politeknik berpindah ke kampus barunya dan ianya dirasmikan pada 10 Mei 1974 oleh Y.B. Menteri Pendidikan pada waktu itu, Allahyarham Tun Abdul Razak b Hussein.

Pada peringkat awal, Politeknik ini cuma mempunyai empat Jabatan Akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam,Jabatan Kejuruteraan Elektrik,Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan yang menawarkan pelbagai kursus di peringkat diploma dan sijil. Pada tahun 1972, diwujudkan Jabatan Kejuruteraan Perkapalan dan jabatan ini cuma menawarkan kursus tunggal pada peringkat Diploma. Pada 1 Mac 1999,dua unit akademik dinaikkan taraf sebagai Jabatan. Unit Matematik dan Sains dijadikan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer manakala Unit Bahasa/Agama pula dijadikan Jabatan Pengajian Am. Kini, Politeknik Ungku Omar mempunyai tujuh jabatan akademik.

Sejak permulaan hingga hujung 1999, PUO telah melahirkan sejumlah 27,195 orang graduan.Kini terdapat bekas pelajar PUO berkhidmat di pelbagai bidang aktiviti ekonomi negara dan mereka itu telah menyumbangkan kemahiran serta tenaga dalam proses pembinaan negara.Kejayaan ini adalah berkat usaha bersama semua pihak termasuk pensyarah dan kakitangan lain yang kini berjumlah 449 orang.

Pada 1 September 1999, Maktab Perguruan Kinta menyerahkan kampusnya kepada PUO. Kini kampus bekas maktab digunakan sepenuhnya oleh Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pengajian Am. Perkembangan dalam saiz kampus PUO adalah perlu untuk menampung pertambahan pesat dalam bilangan pelajar.Pada suatu hari nanti bilangan pelajar PUO dijangka akan menjejak 10,000 orang.

0 comments:

Catat Ulasan